sumber : Malaysia Kini

Stesen televisyen baru bercorak Islam, TV-Al Hijrah akan mula bersiaran di lima kawasan iaitu Lembah Klang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak, bakal menemui penonton mulai 1 Disember ini.

Sebelum itu, televisyen yang beroperasi dari Pusat Islam di Kuala Lumpur akan memulakan siaran ujian pada 1 November ini dengan waktu siaran bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam dan pada jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Siaran percuma yang bertemakan "Segalanya Bermula di Sini" itu disasarkan kepada golongan kanak-kanak dan remaja berusia 4 hingga 17 tahun serta golongan muda dan berkeluarga berusia 18 hingga 39 tahun.

Majlis memperkenalkan stesen televisyen itu dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif TV-Al Hijrah, Bukhari Che Muda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual melancarkan TV-Al Hijrah di Kompleks Pusat Islam di Kuala Lumpur pada 7 Disember nanti.

Saluran televisyen terrestrial itu dikendalikan oleh Al-Hijrah Media Corporation, yang ditubuhkan dan dibiayai oleh kerajaan serta diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Jamil Khir berkata, pada peringkat awal, sebanyak RM60 juta diperuntukkan kerajaan bagi tujuan operasi televisyen itu.

Beliau berharap kemunculan TV itu dapat menangkis segala tohmahan yang dilemparkan orang ramai terhadap media yang dikatakan menjadi punca peningkatan gejala sosial di negara ini.

"Bila berlaku gejala sosial membabitkan remaja, kesalahan itu dibebankan kepada media, jadi kita mahu media ini (TV-Al Hijrah) dapat mengubah perkara itu (gejala sosial) menerusi pengisian program-program yang membina jiwa kalangan remaja," katanya.

Mengulas impak kewujudkan TV-Al Hijrah, Jamil berkata, kemunculan saluran tv berkenaan merupakan satu alternatif bagi memberi lebih banyak pilihan kepada penonton di negara ini.

"Kita akan jadi satu daripada rakan pilihan. Dalam erti kata lain, orang dapat memilih seperti kedai makan yang mempunyai banyak pilihan, selain memenuhi selera penonton dengan hidangan yang disediakan untuk mereka (penonton)," katanya.

Di peringkat awal, katanya, sebanyak RM60 juta diperuntukkan kerajaan bagi membolehkan stesen televisyen berkenaan beroperasi.

Jamil Khir berkata, sebanyak 60 peratus kandungan siaran permulaan televisyen itu adalah terbitan tempatan manakala selebihnya adalah kandungan asing dari negara-negara seperti Iran, Indonesia, Turki dan Belanda.

Sejumlah 30 peratus daripada kandungan tempatan diterbitkan sendiri TV-Al Hijrah, katanya.

- Bernama

2 sweet comments:

ibuayahdamia said...

bagus lah kalau ader stesen TV cam ni..moga sama2 kita hayatinya

*∽ IZAN ∽* said...

RE Ayu :
Betul betul.. moga kita sama sama dapat kebaikan darinya