Salam...
uikksss... agak ganaz gak amaran dari Fasha Sandha ni.
Malas nak komen lelebih.. pernah minat dia ni masa mula2 tengok citer Natasya
dulu.. hakikatnya drama tu hanya lakonan semata-mata.
credit : Harian Metro
SETINGGI mana dia terbang memperdagangkan bakat, sebesar itu juga kontroversi yang mengulit. Bukan kehendaknya, namun rencah anak seni yang bernafas di bawah limpahan populariti, Fasha Sandha akur meskipun setiap inci peribadinya dibogelkan.
Peluh dan kerut dahinya yang sukar disembunyi kerana berlari ke lokasi penggambaran drama siri terbaru lakonannya, Samson Delaila dan kembali menguruskan salun miliknya, Salon Chinta yang bakal beroperasi tidak lama lagi, Fasha terus diasak dengan berita mengejut perpisahannya dengan kekasih, Rizal Ashram Ramli atau Jejai.
Tidak terhenti di situ, sehari kemudian aktres kelahiran Johor Bahru ini berdepan pula kemelut berbalas kenyataan dengan bekas isteri kepada Jejai yang juga dramatis, Nora Danish.
Sejak awal pagi Khamis lalu sejurus segala pengumuman dan perang kenyataan di dada akhbar, aktres terkenal ini tidak henti-henti mendedahkan status ‘berani’ yang cenderung menyerang pihak lawannya di ruangan sosial peribadi Twitter miliknya, @FashaSandha1.
Persoalannya, sampai bila Fasha akan terus mengharungi cerita panas sebegini? Adakah mungkin ia berterusan hingga mencipta satu stigma dan persepsi? Kepada wartawan SELEBRITI, Murshid Eunos, Fasha berkongsi rasa.
“MUSTAHIL saya merancang atau sengaja mencurah pasir ke dalam periuk nasi sendiri. Tidak mungkin saya bertindak bodoh seperti itu jika tiada alasan kukuh.
Ternyata, saya terpaksa berbuat demikian bagi menegakkan kebenaran dan keadilan diri sendiri. Saya tidak mahu ada pihak lain sewenang-wenangnya menindas saya dengan bergayut sekali dalam permasalahan yang saya hadapi.
Jujurnya, memang ia sedikit mengganggu perjalanan rutin harian, lebih-lebih saya sibuk di lokasi penggambaran dan terpaksa berlari-lari memantau salun yang hampir siap.
Namun itulah harga yang terpaksa saya bayar atas segala kegemilangan dikecapi. Saya akur dan terpaksa menelan semua itu meskipun rasanya sangat pahit.
Selepas pengumuman pihak Jejai dan saya berhubung perpisahan kami, tidak sepatutnya ada pihak lain yang sibuk ingin merasa tempias publisiti dengan memberi kenyataan atau komen. Cerita itu merungkai segala spekulasi ramai pihak. Namun ada pula yang sengaja ingin memanjangkan isu itu hingga mencabar tahap kesabaran saya sebagai wanita.
Berita di muka depan mengenai perpisahan kami itu sudah cukup dan tidak perlu pula ada orang yang tidak tahu-menahu untuk menambah fakta dan bercakap lebih, sedangkan dia tidak tahu kisah di sebaliknya. Bagai menjolok sarang tebuan, usah bising jika sengatnya membunuh secara perlahan.
Saya terpaksa mendedahkan semua bukti yang saya ada seperti senarai panggilan, mesej dalam telefon bimbit dan beberapa keping gambar bagi membuka dimensi mata peminat atau sesiapa yang tekun mengikuti sorotan kisah ini supaya persepsi kononnya saya hanya bersembunyi di sebalik helah adalah salah.
Saya tidak mahu berbuat demikian kerana bimbang ia akan mengaibkan sesiapa, namun jika keadaan mendesak seperti mana pernah dicanangkan sebelum ini, saya tidak akan teragak-agak.
Bukan saya ingin membuktikan siapa menang atau dalang mana yang cuba membelit fakta, sebaliknya saya perlu memikirkan soal reputasi yang seolah-olah sengaja dicalarkan berhubung perkara ini.
Saya tidak peduli soal perasaan sesiapa kerana keutamaan adalah diri sendiri. Saya perlu berdiri untuk menegakkan apa yang benar dan mana yang sepatutnya dibicarakan.
Peminat saya arif dan bijak. Mustahil mereka leka dan berbuai dengan segala macam cerita yang timbul. Alhamdulillah, mereka tidak sesekali lari atau merasa benci, sebaliknya semakin kerap pula peminat menghantar kata-kata semangat dan dorongan kepada saya melalui Twitter.
Twitter adalah ruangan peribadi untuk saya berkongsi rasa atau apa saja yang ingin disembangkan. Ia adalah komunikasi bersama peminat dan mereka yang ingin mengikut perkembangan saya.
Justeru, saya tidak melihat perkara itu sebagai satu peperangan atau mencerminkan sifat peribadi seseorang. Usah terlalu dalam memikirkan soal itu.
Saya hanya ingin berkongsi perasaan bersama peminat dan begitu juga dengan sesiapa yang lain. Masing-masing punya hak untuk menaikkan status di Twitter bagi meluahkan perasaan. Senario itu bukan satu peperangan, sebaliknya hanya medium berkongsi rasa.”