Salam...
Dalam kemeriahan meraikan perkahwinan bersejarah Angkasawan Negara, tarikh 10-10-10 turut merakamkan detik tragis apabila negara di gemparkan dengan berita kemalangan ngeri melibatkan 2 buah bas, 2 buah van dan sebuah kereta.

Dalam berita malam tadi, berdasarkan siasatan, Bas Ekspress Delima yang menjadi punya kemalangan di katakan masih baru dan mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik dan pemandunya yang berusia 52 tahun juga di katakan mempunyai rekod pemanduan yang baik dan tidak mempunyai sebarang rekod saman sedangkan ada saksi mengatakan 'BAS DI PANDU LAJU' . Lantas di mana silapnya nya...?

Bak kata Abang : Tukar je engine bas tu terus boleh bawak maximum 90km/h. Tulis cantik belakang bas ~ 80-90km/h tapi hakikatnya masih kelihatan Bas 'merempit' di lebuh raya..!

Apapun takziah kepada semua mangsa dan ahli keluarga mangsa yang terlibat...

Ikuti berita selanjutnya : Utusan Malaysia

12 maut tragedi lebuh raya

Salah sebuah kereta remuk setelah dihempap oleh bas ekspres dalam nahas ngeri di Kilometer 223 Lebuhraya Utara-Selatan, semalam.


SEREMBAN 10 Okt. – Seramai 12 orang maut, manakala lebih 40 lagi cedera termasuk parah apabila dua buah bas, dua buah kereta dan sebuah van terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223, Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang ini.
Nahas berlaku apabila sebuah bas ekspres Delima yang dipercayai dipandu laju dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.
Bas ekspres itu yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur kemudian melanggar sebuah van dan kereta sebelum menghempap dua buah kereta lain dalam kejadian pada 6.50 petang itu.

Pada masa yang sama, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dinaiki ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) turut gagal mengelak dan melanggar bas ekspres itu.
Tragedi Oktober itu mengakibatkan puluhan ribu kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sehingga lewat malam ini apabila pihak berkuasa terpaksa menutup laluan di kedua-dua arah untuk kerja-kerja menyelamat.
Sehingga pukul 11 malam ini, pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa termasuk penumpang bas dan kenderaan yang dihempap oleh bas itu.
Difahamkan, mangsa yang maut adalah pemandu bas dan penumpang serta penumpang dua buah kereta yang terhimpit dihempap bas tersebut.

Pengarah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, Dr. Jaafar Che Mat pada sidang akhbar lewat malam ini memaklumkan, pihaknya menerima 24 orang mangsa yang cedera terdiri daripada lapan lelaki dan 16 wanita, kesemuanya dewasa.
Katanya, seorang daripada mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Menurut beliau, kesemua mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala mereka yang cedera menerima rawatan di HTJ.
Antara yang dilihat menerima rawatan termasuk seorang pelancong warga Jepun.
Berikutan kemalangan itu, pihak polis telah menutup laluan masuk ke lebuh raya arah selatan di Plaza Tol Pedas, Linggi di Rembau.

Kebanyakan kenderaan yang memasuki lebuh raya dinasihatkan oleh Plus Expressways Berhad (PLUS) untuk menggunakan laluan alternatif.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi malam ini mengesahkan kejadian tersebut dan menurutnya, ketika ini, identiti mangsa yang cedera dan meninggal dunia masih belum diketahui.

Operasi menyelamat masih dijalankan oleh pasukan bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta bantuan pihak paramedik dari hospital yang berdekatan.
Dalam pada itu, salah seorang penumpang bas Ekspres Delima yang terselamat, Nur Najlaa Aqilah Mohd. Ghazali, 19, berkata, dia tiba-tiba terasa bas yang dinaikinya berpusing lalu menghempap sebuah kereta selepas melambung ke laluan bertentangan.

“Ketika kejadian, saya sedang tidur. Saya tersedar apabila bas itu berpusing dan menghempap kenderaan di laluan bertentangan. Tidak lama kemudian, bas yang kami naiki dirempuh beberapa kenderaan lain termasuk sebuah bas (membawa ahli PBTM),” kata pelajar Universiti Malaya itu yang kini dirawat di HTJ setelah mengalami kecederaan di tangan dan muka.

Difahamkan, bas JKM membawa peserta yang menghadiri Perhimpunan Raksasa PBTM, turut dinaiki Exco Kerajaan Melaka, Datuk Karim Sulaiman. Bagaimanapun, kesemua penumpang bas itu dilaporkan selamat.

0 sweet comments: