Salam...
Nak share satu entry menarik hari ini. Pendidikan awal bayi..
Betul atau tidak kebanyakan parent excited dengan article2 pasal perkembangan bayi
mereka masa mula-mula dapat anak pertama..?
Bila dah start anak ke-2 aku rasa usaha tu menurun > 50 %..?
Dulu masa Danish banyak gak beli CD education.. excited suh dia tengok dan ajar.. bila dia besar dan ada
adik ada jugak beli untuk adiknya.. tapi bila ada perbezaan umur.. nak pasang CD tu dah tak
kena pada both kids. Sorang dah pandai.. sorang baru nak belajarr..
penyudahnya berebut TV plak diaorang. .isk isk isk.
Anyway ce baca entry ni article dari Harian Metro.
Dania 4 tahun.. tak decide lagi nak hantar skool sebab teringat Danish yang kitaorang hantar dari usia 3 setengah tahun gara-gara nak suruh dia berkawan. So dari usia 3 tahun Danish dah ada homework..
Then terus continue gi skool . Masa Danish masuk 5 tahun memang kitaorang pun trauma kejap..
Danish yang dah kena buat ABC dari 3 tahun setengah mula bosan nak buat homework sama je bila masuk 5 tahun. Setiap kali ada homework confirm Danish menangis-nangis nak siapkann..! Rasanya 2-3 bulan gak keadaan tu berlarutann... Sekarang Alhamdulillahh.. Danish dah OK. Masih tadika 6 tahun...
Masa umur 5 tahun dah boleh membaca Peter & Jane buku 6B. Sekarang dah sampai buku 8A..
Tapi di sebabkan kejadian Danish masa awal tahun lepas tu
tu kitaorang hold kan Dania masuk tadika buat masa ni. Takut
jadi macam Danish dulu. Patut kerrr..? uhuhu.Tapi kalau ada weekend kelas utk
Dania boleh juga nak try hantarr..uhuhuu.
Korang camne..? anak berapa tahun hantar tadika...?
PADA usia 17 bulan, kanak-kanak ini sudah boleh membaca dan menyebut perkataan dengan lancar. Malah, lebih menakjubkan apabila dia mula mengenal huruf pada kad imbasan menjelang usia enam bulan. Satu pencapaian yang amat membanggakan bagi kanak-kanak seusianya.
Malah, ketika berkunjung ke Genius Baby On Board yang terletak di Puchong, Selangor, Rania Qarissa Rizal Saiful Rizal, 3, sama seperti kanak-kanak lain, namun kesukaan pada bahan bacaan amat terserlah apabila sepanjang masa dia memegang buku, kad imbasan atau berdamping dengan komputer peribadi. Kini, dia juga mula mendalami bahasa Arab dan Cina hanya berpandu kepada cakera padat di bawah pengawasan ibunya, Norhidawati Abdul Aziz, 30.
- MENONTON CAKERA PADAT...masa dua beradik ini banyak dihabiskan di hadapan televisyen dengan bantuan ibu mereka.
- BIJAK...Qarissa bersama adiknya Quzayra tekun membaca kad imbasan.
Menurut Norhidawati atau mesra dipanggil Watie, apa yang berlaku kepada Qarissa bukanlah sesuatu yang mustahil. Ini kerana semua bayi dan kanak-kanak adalah bijak dan mereka mampu melakukan apa saja sekiranya mendapat rangsangan yang betul daripada ibu bapa.
Apa yang penting, ibu bapa harus mendapatkan ilmu terlebih dulu mengenai kepentingan memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak sejak dilahirkan dan sehingga pembesaran mereka.
Ibu kepada dua cahaya mata comel ini memberitahu, keterujaannya untuk melihat anaknya membaca pada usia awal kerana rasa tercabar apabila menonton video kanak-kanak di luar negara yang mampu membaca pada usia enam bulan. Sejak itu, dia sanggup melakukan apa saja demi melihat anaknya mampu membaca pada awal usia
."Perkara pertama dilakukan ialah dengan membeli kad imbasan lalu menunjukkan pada Qarissa menggunakan teknik satu kad satu saat sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang dan malam. Sepanjang melakukan aktiviti itu, Qarissa tidak menunjukkan sebarang perubahan, namun saya tetap meneruskannya dan tidak berputus asa.
“Menjelang hari keempat, Qarissa mula menangis kerana ingin memegang kad, namun saya tidak membenarkannya dan tetap menunjukkan kepadanya,” ujarnya yang mengakui apabila anak mula menyukainya, itulah masa sesuai untuk membentuk minat membaca kepada anak-anak.
Kesukaran mencari produk sesuai untuk bayi terutama dalam konteks pengajaran di Malaysia, memberi cabaran kepada Watie, namun dia bernasib baik kerana pada usia Qarissa 11 bulan, dia terjumpa laman sesawang Little Reader ketika sedang melayari Internet lantas dia menggunakan peluang yang ada untuk mengajar Qarissa dengan berpandukan kepada laman sesawang itu.
“Menariknya, proses pembelajaran menerusi Little Reader tidak membosankan dan menyeronokkan kerana semua aktiviti dilakukan menerusi gambar dan muzik serta kaedah bermain. Jadi anak-anak tidak berasa tertekan kerana pengajaran dilakukan seperti mana bermain.
“Lebih penting anak anda mampu membaca dalam tempoh yang singkat. Namun, semuanya terpulang kepada ibu bapa bagaimana mereka berkeinginan membentuk anak mereka,” katanya.
Sepanjang tempoh itu Watie mengajar anaknya tanpa jemu, walaupun ada masanya Qarissa tidak menunjukkan minat dan membiarkan saja. Namun, Watie tidak berputus asa kerana dia percaya bagi mendapat hasilnya bukanlah dalam tempoh singkat walaupun perlu mengajar sehing�ga 100 atau 1,000 kali sekalipun dia yakin Qarissa akan menunjukkan perubahannya.
Memang benar ada kalanya apabila rasa tidak yakin, Qarissa terus saja menunjukkan perubahan positif sehingga pada suatu hari Qarissa boleh membaca dengan lancar setiap baris ayat dan inilah saat paling meng�gembirakan bagi Watie. Baginya, kebolehan ditunjukkan anaknya itu membuktikan semua bayi adalah genius.
“Saya selalu tidak yakin dengan kemampuan Qarissa, tetapi apabila dia menunjukkan perubahan di luar jangkaan menyebabkan saya percaya ibu bapa harus menanam rasa percaya dengan kebolehan anak-anak. Jangan berprasang�ka anak tidak bijak dan tidak boleh melakukannya,” katanya.
Dia sering merangsang otak kanan anaknya dengan perasaan kasih sayang manakala pada waktu malam menggunakan teknik sheseida iaitu bercakap dengan anak ketika anak sedang tidur bagi merangsang otak kiri mereka.
Selepas kelahiran anak kedua Rania Quzayra, Watie terus berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada anaknya, malah dia tidak menunggu masa yang lama untuk merangsang otak Quzayra.
Pada usia lima bulan, dia terus menggunakan cara yang sama seperti mana diberikan kepada Qarissa dan semakin percaya yang semua bayi adalah bijak. Quzayra dilahirkan tanpa tulang pada tangan kanan bermula daripada pergelangan sehingga jari dan hanya daging semata-mata yang membentuk tangan dan jari.
Walaupun mempunyai ruas, jarinya tidak dapat dibuka, ditutup mahupun digerakkan seperti kebiasaannya. Istimewanya juga kerana tangan itu boleh dilentur ke mana saja tanpa rasa sakit.
Menurut Watie, kelahiran Quzayra cuma satu antara 32,000 kelahiran dan sebagai kanak-kanak istimewa berpenyakit symbrachydactyly, dia mahu membuktikan Quzayra mampu seperti mana kanak-kanak lain.
“Saya dapat rasakan yang sesungguhnya kelahiran Quzayra adalah untuk membuka mata saya dan suami terhadap keagungan ciptaan Allah dan menyebarkan setiap inci maklumat menerusi penglihatan, perasaan dan proses menerusi deria mata dan otak, seterusnya berkongsi dengan masyarakat melalui penulisan di alam maya.
“Ini bertujuan supaya masyarakat sedar betapa Allah SWT menciptakan setiap makhluknya itu sempurna dan kesempurnaan itu terlalu subjektif, terpulang kepada kita sendiri untuk melihatnya dalam bentuk yang berbeza,” ujarnya.
Kini, Quzayra yang dilahirkan pada 7 April 2010 menga�gumkan ibunya dengan kebijaksanaannya. Quzayra memanipulasikan kekurangan dirinya dengan begitu baik sehingga tidak nampak kekurangannya.
Contohnya, walaupun memiliki tapak tangan kanan kecil dan lembut, dia bertepuk tangan menggunakan pergelangan tangan yang bertulang dan bukannya tapak tangan. Ini kerana sekiranya bertepuk tapak menggunakan tangan pasti tidak akan berbunyi berbanding lengan bertulang.
“Sebagai ibu saya berharap apa yang berlaku kepada Quzay�ra akan memberikan motivasi kepada ibu bapa yang memiliki anak istimewa supaya percaya dengan kebolehan anak-anak bagaimana sekalipun keadaan mereka.
“Tanamkan dalam diri yang anak kita boleh, bijak dan pandai, malah anak kita genius untuk melakukan apa yang kita tidak sangka dan dia boleh melakukannya.
“Tanamkan dalam minda yang kita teruja untuk melihat setiap inci perkembangan terbaru anak dan yakin mereka akan menun�jukkan kehebatan mereka,” katanya.
Tambah Watie, apabila ibu bapa berada dalam minda positif, aura positif akan terpancar dan sentiasa mengelilingi diri mereka setiap masa. Ini sangat baik untuk perkembangan mental atau fizikal anak.