Sumber: Berita Harian



SEREMBAN: Beberapa penumpang bas Ekspres Delima yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) kelmarin, mendakwa kenderaan itu dipandu laju hingga hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.


Pelajar kolej swasta, Shanor Amir, 18, dari Padang Temu, Melaka, berkata dia sedar ketika kejadian berlaku dan dapat merasakan bas berpusing selepas melanggar penghadang jalan


"Saya tidak tidur seperti sebahagian penumpang lain dan dapat merasakan bas dipandu laju, sebelum berpusing dan terbabas ke laluan bertentangan. 

Kejadian berlaku terlalu pantas dan ramai penumpang tidak menyedarinya kerana ramai yang tidur,” katanya yang cedera muka dan badan ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), selepas lawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. 

Aisyah Mohd Nor, 18, dari Sungai Udang Melaka, juga mendakwa bas dipandu laju, sebaik memulakan perjalanan dari Stesen Melaka Sentral. 

“Bas memang dipandu laju sebaik memulakan perjalanan dan kemudian memasuki lebuh raya,” katanya yang kali kedua menaiki bas itu dari Melaka ke Kuala Lumpur. 
Tox Xue Hui, 23, yang mengakui bas bukan saja dipandu laju, malah sejak awal perjalanan, pemandu dilihat sentiasa mahu berada di lorong kanan dengan memotong kenderaan lain. 

“Sehari sebelum kejadian, saya menaiki bas yang sama untuk ke Melaka dan perasan, ia dipandu pemandu sama. Ketika perjalanan, dia juga memandu laju dan saya anggarkan perjalanan hanya mengambil masa sejam setengah untuk sampai ke Melaka,” katanya yang menerima rawatan di Hospital Pantai Keroh, Melaka. 

Kemalangan menyebabkan Tok Xue dari Ayer Hitam, Batu Pahat dan bekerja di Kuala Lumpur, menerima 15 jahitan pada kepala, selain retak tulang pinggang dan patah tulang selangka. 

Sementara itu, polis tidak menolak kemungkinan faktor kelajuan antara punca bas berkenaan terbabit dalam kemalangan. 

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom, berkata ia akan dikaji pasukan teknikal dengan menghantar bas menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM). 

“Kelajuan memang dalam perkiraan polis, tetapi kita juga melihat faktor lain seperti kerosakan mekanikal yang boleh menyebabkan kemalangan,” katanya. 

Ketua Bahagian Komunikasi dan Pembangunan Perniagaan PUSPAKOM, James Lee, berkata walaupun tiada kotak hitam, kaedah lain boleh digunakan untuk mengetahui kelajuan bas berdasarkan keadaan di lokasi kejadian seperti kesan brek pada jalan dan keterangan saksi. 


Bas cuba potong kenderaan tetapi gagal: Penumpang


2010/10/11

SEREMBAN: Seorang penumpang bas ekspres Delima yang terselamat dalam kemalangan maut yang mengorbankan 12 nyawa petang semalam, mendakwa dia melihat pemandu bas cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal dan bas itu mula terhoyong-hayang menyebabkan ia melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan. 

Tew Chi Ling, 18, pelajar Kolej Bandar Utama, berkata dia kini berada dalam keadaan trauma dan terkejut kerana dapat menyaksikan keseluruhan detik cemas, ketika kemalangan itu berlaku.


"Saya tengok, ramai penumpang bergelimpangan di atas jalan raya dan ada juga yang tersepit di dalam bas. Saya lihat, bas itu sudah dipenuhi darah manusia. Ada yang mengeluh kesakitan, ada yang sudah tidak bersuara lagi. Ada pula yang patah, cedera di kepala. Saya cuba membantu, tetapi tidak berdaya," katanya.
Dia sedih kerana banyak suara yang meminta tolong dari dalam bas yang remuk itu, apatah lagi terkejut dengan jeritan tanpa henti penumpang yang terbabit dalam kemalangan maut itu. 

"Saya bernasib baik kerana selamat bersama seorang rakan kolej. Saya masih dirawat, tetapi rakan telah dibenarkan balik. Saya cuma mengalami cedera ringan dan luka di beberapa bahagian badan," katanya ketika ditemui di wad Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini hari ini. 

Sebahagian besar penumpang bas ekspres Delima itu sedang tidur ketika kenderaan itu melambung, terhempas dan melanggar beberapa kenderaan lain di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, di Rembau. 

Menurut beberapa penumpang yang terselamat, mereka melihat penumpang lain yang ketika itu ramai yang tidur melambung keluar dari bumbung bas yang pecah, selain beberapa lagi tersepit apabila bas itu terhempas di atas jalan raya. 
Seorang lagi penumpang, Liow Sin Ren, 23, berkata dia tidak sedar apa yang berlaku kerana tidur dan hanya menyedari apabila bas sudah terbalik. 

"Bila saya sedar seluruh badan terasa sakit. Saya buka mata perlahan-lahan dan terkejut apabila bumbung bas sudah tercabut," katanya yang mengalami keretakan pada tulang hidung dan pipi. 

Katanya, doktor terpaksa menyedut serpihan kaca yang masuk ke dalam telinganya. 

Seorang lagi mangsa yang selamat, Nur Najlaa Aquilah Mohd Ghazali, 19, yang kehilangan sebahagian kulit dan daging di pergelangan tangan kirinya berkata dia berada dalam keadaan separuh sedar dan pening kerana bas itu berpusing dan terhoyong-hayang. 

"Saya terhantuk dan kepala pening sebaik sahaja bas yang dinaiki terbabit dalam kemalangan. Apabila saya sedar, saya lihat pakaian saya dibasahi dengan darah," katanya. 

Beliau berkata, ramai penumpang yang mengerang kesakitan dan ada juga yang merangkak keluar dari bas yang sudah remuk. 

"Saya menangis apabila melihat darah banyak mengalir dari pergelangan tangan dan dimaklumkan ia terkoyak semasa kemalangan itu berlaku," kata pelajar Universiti Malaya itu. 

Sementara itu, beberapa lagi mangsa yang cedera tidak dapat ditemubual kerana masih berada dalam keadaan lemah dan trauma berikutan kejadian itu. 

Turut kelihatan beberapa ahli keluarga mangsa yang terselamat di bilik wad berkenaan dan perkarangan menunggu di luar wad terbabit. 

Sehingga kini, HTJ telah menerima 24 mangsa yang cedera di tiga wad iaitu wad pembedahan, wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad "High Dispency" (HDW) dan semua mangsa dilaporkan stabil serta diberi perhatian sebaik mungkin oleh doktor yang bertugas. 

Seramai 12 orang terbunuh manakala lebih 40 dilaporkan cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah bas, sebuah van dan dua kereta dalam pada 6.40 petang semalam. 

Nahas itu berlaku apabila bas ekspres Delima yang dipandu laju, gagal dikawal dan terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan dan melanggar van, bas sebelum menghempap dua kereta. - BERNAMA 

sumber : My Metro