Salam..
Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
Gambar KOLEKSI ERRA FAZIRA
|
Kenangan Erra dan Aleesya di hadapan kaabah sewaktu mengerjakan umrah, empat bulan yang lalu.
|
PENGALAMAN menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada awal April tahun lalu nyata mencatatkan banyak memori indah buat wanita yang seorang ini.
Pun begitu, ini bukan bermaksud ia merupakan kali pertama primadona filem tanah air ini menjejaki bumi Arab itu yang terkenal sarat dengan kisah-kisah agung tamadun Islam.
Apa yang menyebabkan pemilik nama Erra Fazira Wan Chek tersenyum bahagia adalah kerana umrahnya ke Mekah yang terbaru sekitar April lalu ditemani suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin.
Lebih manis lagi, buah hati mereka, Engku Aleesya yang berusia setahun juga dibawa bersama-sama.
Cerita Erra, ini adalah kali pertama dia menunaikan umrah selepas memegang status isteri dan ibu. Justeru , pastinya pengalaman Erra lebih bermakna kerana kehadiran Aleesya melengkapi roda kehidupannya kini.
Bagaimanapun, bagi sesetengah orang, membawa anak kecil semasa menunaikan umrah atau haji akan hanya mengundang banyak masalah.
Lebih-lebih lagi jika si anak mula membuat ragam sehingga menganggu tumpuan ibu bapa terhadap ibadah yang dijalankan.
Bagaimanapun, Erra menolak tanggapan itu. Bahkan, bekas ratu cantik Malaysia tahun 1992 ini turut membuktikan bahawa dia mampu mengimbangkan antara ibadah dan dalam masa yang sama tugas rasminya sebagai ibu kepada Aleesya tidak terabai sepanjang seminggu berada di Mekah.
“Sebenarnya saya langsung tidak berasa tertekan membawa Aleesya bersama-sama semasa menunaikan umrah pada waktu itu walaupun tanpa pembantu di sisi. Malah, saya rasa tenang kerana dapat menjaga dan melihatnya di depan mata sentiasa.
“Keputusan untuk membawanya ke Mekah pun dibuat pada saat-saat akhir memandangkan keluarga saya dan Emran secara kebetulan ada urusan masing-masing yang tidak dapat dielakkan.
“Saya juga melihat perkara ini dari sudut positif bukan kepayahan. Bahkan saya fikir, mungkin sudah tercatat rezeki Aleesya untuk ke Mekah bersama-sama ibu dan ayahnya pada usia yang muda, rezeki Tuhan siapa yang mampu menolak bukan?” katanya.
Memikirkan bagaimana mungkin anak kecil itu langsung tidak membuat ragam, penulis mengaju pertanyaan apa rahsia Erra memantau pergerakan puteri kesayangannya itu ketika dia menunaikan ibadah.
Dalam nada teruja untuk berkongsi, Erra memberitahu, strateginya adalah dengan mengikat Aleesya menggunakan tali pengikat khas kanak-kanak yang disambung dan diikat pada kakinya.
“Faham-faham sahajalah, budak kecil mana mahu duduk diam. Jadi, saya ikat badan Aleesya dengan alat tersebut. Dengan cara itu, saya boleh menunaikan solat dan dalam masa yang sama dapat memastikan Aleesya sentiasa di sisi,” ujarnya.
Yang menariknya, menurut Erra, sebelum berangkat ke Mekah, dia telah pun bereksperimen dengan Aleesya menggunakan kaedah itu selama sebulan di rumah bagi memastikan anaknya itu tidak terkejut apabila berhadapan dengan keadaan itu ketika berada di Tanah Suci.
“Sebab itulah saya katakan bahawa saya tidak merasai tekanan kerana membawa Aleesya bersama tempoh hari. Semuanya kerana segala persiapan telah saya buat sebelum pergi sama ada dari segi mental dan fizikal.
“Mujurlah dia tidak banyak kerenah sangat. Paling teruk pun dia meragam dan menangis sebab mengantuk. Pada waktu itu, terpaksalah saya berhenti sekejap solat dan menidurkannya dahulu.
“Penat memang penat, tetapi itu bukan penghalang untuk saya mengimbangi tugas seorang ibu dan pada masa yang sama dapat memberikan 100 peratus tumpuan terhadap ibadah saya,” katanya lagi.
Mekah yang dirindui
Kata Erra, April lalu merupakan kunjungannya yang pertama ke Tanah Suci dalam tempoh tiga tahun.
Enggan menyatakan angka keberangkatan ke sana sebelum ini, Erra bagaimanapun tidak dapat lari daripada terus merasa rindu untuk menjejakkan kakinya ke Tanah Suci tanpa rasa jemu.
Anak kelahiran Rawang, Selangor ini juga mengakui, Mekah adalah lokasi di mana dia mampu menemui ketenangan selain dapat menghambakan diri sepenuhnya kepada Yang Maha Esa.
“Perasaannya lain, ketika di sana, perasaannya bercampur baur. Seronok ada, syahdu ada. Tetapi biarlah perasaan itu saya yang simpan sendiri. Ia antara saya dan Dia.
“Tetapi kalau ditanya sama ada saya menikmati kepuasan di sana, tidak adalah jawapannya. Saya tidak pernah berasa puas hanya dengan sekali melangkah ke sana. Kalau ada rezeki dan peluang, Mekah akan saya jejaki lagi,” ujarnya.
Malah, Erra yang pernah merasai suasana Ramadan ketika mengerjakan umrah sebelum ini mengakui masih terkenang saat-saat manis itu yang dikatakan sangat berbeza dan tidak mungkin dapat dirasai di tempat lain.
Sempat penulis mengusik Erra dengan pertanyaan adakah dia serik untuk membawa Aleesya sekiranya berkesempatan ke Mekah lagi. Pantas Erra menjawab “InsyaAllah, dia akan saya bawa juga.”
Jelas Erra, memandangkan dia sudah berpengalaman, maka untuk membawa Aleesya sekali lagi mengunjungi Tanah Suci bukanlah merupakan satu masalah besar.
Katanya, setidak-tidaknya, Aleesya juga terdidik untuk berasa dekat dengan Maha Penciptanya sedari kecil selain sentiasa berada dekat dengan keluarga tersayang.