MUAR: Disebabkan wajah seiras ayah dan hubungan akrab dengan bapa yang sudah bercerai dengan ibu, seorang lelaki mendakwa hidup penuh kesukaran apabila dikhianati ibunya hingga perniagaan diusahakannya gulung tikar.
“Aku benci melihat muka kau, kau bukan anak aku dan aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat.” Itu antara ungkapan yang dihamburkan si ibu kepada lelaki berusia 28 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Azli dari Sungai Abong, di sini.

Menurutnya, dia disisihkan ibunya sejak berusia 12 tahun kerana wajahnya seiras ayahnya yang amat dibenci wanita berkenaan sejak mereka berpisah.
“Selain ibu, abang juga bencikan saya dan sering memukul saya. Berikutan itu, saya meninggalkan rumah ketika berusia 13 tahun.

“Saya sangka masalah selesai, namun ibu masih berdendam dan melakukan pelbagai tindakan yang menyusahkan hidup saya hingga sekarang,” katanya.

Azli berkata, dia pernah bekerja dengan sebuah firma guaman di negeri ini kira-kira tiga tahun lalu, namun diberhentikan tiba-tiba dan mendakwa ia disebabkan fitnah ditabur ibunya.
Sejak itu, dia bertekad bekerja sendiri dengan menubuhkan syarikat perniagaan berasaskan rempah dan usahanya itu membuahkan hasil.

Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapinya hanya sementara kerana Azli mendakwa, ibunya yang berusia 50-an sekali lagi menabur fitnah kononnya rempah ratus yang dihasilkannya menggunakan bahan terlarang seperti serbuk kayu dan pewarna berlebihan.
Fitnah itu sampai ke pengetahuan pihak berkuasa dan akibatnya, serbuk rempah kurma dan kari keluaran syarikat Azli dilarang dipasarkan sejak setahun lalu.

“Berikutan itu, saya sekali lagi berdepan kesukaran, malah seorang demi seorang pekerja berhenti kerja tanpa sebab munasabah.

“Fitnah dilontar ibu terhadap saya terlalu kejam hingga saya pernah menerima kata-kata kesat daripada pekerja sendiri, malah saya juga dituduh menggunakan bomoh untuk mengahwini isteri serta tidak bertanggungjawab kepada keluarga,” katanya.

Selepas kilang diusahakannya ditutup, Azli kini hidup kesusahan dan berniaga kecil-kecilan dengan menjual makanan di sebuah gerai di bandar ini sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Azli, walaupun ibunya berterusan menghinanya, namun dia masih memberikan wang saku setiap bulan selain menjaga makan dan pakai wanita berkenaan.

Pada masa sama, perkahwinan Azli dengan gadis tempatan berusia 24 tahun kira-kira dua tahun lalu turut tidak mendapat restu ibunya.

“Pada Aidilfitri lalu, saya dan isteri pulang ke rumah ibu, namun kami hanya dibenarkan berada di luar rumah,” katanya.

Menurutnya, bagaikan dalam babak filem Ibu Mertuaku lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, ibunya mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat selain mengugut dengan ungkapan “Aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat.” Menurut Azli, ibu dan ayahnya bercerai akibat salah faham selepas kelahiran adik bongsu mereka (adik Azli) yang kini berusia 16 tahun dan ayahnya kini sudah berkahwin lain.

4 sweet comments:

Gieyana said...

macam2 skrg nie kan..

*∽ IZAN ∽* said...

tu lahh.. apa la salah anak tu isk

eelobor said...

nak kena pegi hantar kursus ESQ kut mak dia nih. kasi basuh sket kepala hotak

ieda said...

looor x patutlah .. bukan ker anak yg dilahirkan itu hasil dari bersama suami ?? huhuhu